Friday, July 24, 2009

tpaye depe tanggo

sudah menjadi kewajipan rumah melayu zaman dulu mempunyai sebuah tempayan di depan tangga. tempayan ini berfungsi untuk mengisi air untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah.

orang tua-tua amat marah jika naik ke rumah tanpa membasuh kaki terlebih dahulu. kenapa? kerana dahulu kerja kampung, masuk baruh bendang, jalan kaki tidak berselipar atau berkasut. segala kotoran melekat di kaki termasuklah tahi ayam moner. untuk mengelakkan gelegar rumah daripada dikotori najis, orang tua menyediakan air di hadapan rumah, biasanya depan tangga. tempayan merupakan bekas yang sesuai pada masa itu untuk mengisi air. sebab itulah tempayan diletakkan di depan tangga.

oleh kerana menjadi adat membasuh kaki sebelum naik rumah, biarpun tidak kotor orang tua tetap membasuh kakinya sebelum memijak tangga. ceduk yang dibuat daripada tempurung dicelup ke dalam tempayan, disiramnya ke kaki, ditenyeh-tenyehnya lagi kaki kanan ke kaki kiri kemudian kiri ke kaki kanan padahal kakinya tidak kotor pun sebab berselipar. ini menunjukkan kebersihan amat dititik berat dalam masyarakat melayu.

masa kecik dulu, aku tidak suka berselipar. kalau balik dari berjalan mesti cabut duri semalu yang tercucuk di tapak kaki. bila balik dari bermain, aku selalu tidak membasuh kaki terlebih dahulu. pakai main redah je naik atas rumah. kadang-kadang tengah ralit ada bau tahi ayam. cek tapak kaki memang tahi ayam. tapi dah rata berjalan atas rumah.

kalau naik ke rumah tak basuh kaki, jangan biar terserempak dengan orang tua. kalau dia tahu naik rumah tak basuh kaki, mula la dia membeliakkan mata. sebelum apa-apa baik terjun cepat-cepat ke tanah. kalu tidak pelepah kelapa pun singgah atas belakang.
tempayan kini tinggal nama. fungsinya sudah beralih daripada bekas isi air kepada bahan pameran di muzium. ataupun sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes. aku teringat lagu tuan kob mengisahkan cerita baldi dengan timba. baldi dengan timba merupakan metafora kepada orang yang banyak berjasa tetapi tidak sedikit pun dihargai. jadi, aku rasa kisah tempayan depan tangga pun lebih kurang dengan baldi dengan timba...

p/s: sekarang paip depan tangga. tapi buat apa lagi paip, sebab kebanyakan orang sekarang naik ke rumah tanpa basuh kaki pun.

No comments:

Post a Comment