Monday, April 5, 2010

ILMU

"Tuntutlah ilmu dari kamu lahir sehingga ke liang lahad".
Satu ungkapan yang memberitahukan kita kepentingan ilmu. Ilmu di dunia ini begitu luas. Apa yang kita dapat hanyalah secebis dari ilmu yang Allah kurniakan kepada kita.

Oleh itu, proses pembelajaran hendaklah berlaku sepanjang hayat. Dan tidak rugi mencari ilmu, kerana barangsiapa bersusah payah meredah jalan mencari ilmu,akan dipermudahkan baginya jalan ke syurga. Utamanya ialah ilmu agama.

Kesilapan kita sekarang ialah terlalu mengejar ilmu dunia. Sehinggakan terabai ilmu yang menjadi penyuluh jalan kita ke akhirat. Lihatlah betapa bersusah payah ibubapa menghantar anak ke kelas tuisyen,tapi tidak cakna menghantar anak mengaji quran, fardhu ain dan sebagainya cabang ilmu agama. Akhirnya melahirkan generasi bijak pandai tetapi rosak. Berapa ramai pengarah-pengarah menerima rasuah,tipu wang syarikat,cabul di pejabat dan sebagainya.

Kesilapan kita menghadkan ilmu hanya dicari sewaktu di bangku pengajian. Sedangkan ilmu itu berlansung di dalam kehidupan kita. Kita hanya mengejar ilmu bersijil dan memandang enteng ilmu yang diperolehi di madrasah,pondok-pondok atau kuliah-kuliah agama.

Ilmu kita amat cetek. Dan adalah orang yang bodoh mengatakan ilmu aku sudah cukup, atau aku sudah cukup berilmu dan tidak perlu lagi belajar...

Nasihat untuk diriku dan dirimu...

Saturday, April 3, 2010

LIFE MUST GO ON

Happiness keep you sweet, Trials make you strong, Sorrow keeps you human, Failure keeps you humble, Success keeps you glowing, And God keeps you going..

Thursday, April 1, 2010

SAIF





Menggunakan hp 5.0 mp jenama CSL.
Tempat : Restoran Rohani, Bongawan
Model: Saifudin
Software : Phothoshop 7.0

Tuesday, March 30, 2010

HUJAN


setelah sekian lama tidak hujan akhirnya membakut manik-manik rahmat terurai menaburi bumi membakut...berkat doa tumbuhan,haiwan dan khalifah bumi...

Saturday, March 27, 2010

~~SEPI~~



Selubung sepi
Kerudung qalbi
Perungkup nafsi
Di hanyut awan ilusi
Indah lukisan fantasi
Menjadi teman yang rasi

Alis menangis
Kelopak memerah titis
Luka yang terguris
Titik merah menitis
Kanvas hidup terlukis
Suratan sudah tertulis

Friday, March 26, 2010

SENJA






senja memang cantik..setiap kali melihat senja aku teringin mengabadikan dalam gambar tapi sering terlepas peluang. bukan apa, senja itu tepat pada waktu maghrib. nanti apa orang kata. kali ini aku dapat peluang menjadikan ia kenangan. usai saja solat maghrib terus aku terburu-buru turun. sempat jua aku rakamkan beberapa keping sebelum malam.

dengan menggunakan henpon,gambar tidaklah begitu cantik. ditambah dengan sentuhan photoshop barulah naik serinya..pun begitu, gambarnya kurang tajam kerana henpon memerlukan cahaya yang cukup untuk sekeping gambar yang jelas...

gambar ini adalah sekitar masjid pekan membakut..

Thursday, March 25, 2010

KRITIK

Kita sebenarnya suka kepada kata-kata manis. Padahal kata-kata manislah yang merosakkan kita. Kerana gula mati semut. Kerana kata, mati kita.

Sebenarnya, pahit kata-kata menjadikan kita sebagai kita. Kerana pahit itu ubat. Pahit itu semangat..Sekiranya mahu melihat kelemahan diri,tanyalah musuh..kerana kawan hanya menabur gula...akhirnya kita hanyut dalam kata-kata pujian. Benci pada kritikan menyebabkan kita berada di tahap yang sama tanpa peningkatan.

Kadang-kadang kita lemah semangat dengan kritikan. Seolah-olah kita pandai dan tahu semua. Seolah-olah kita lah yang betul dalam setiap perkara. Sungguh dhaif pemikiran begitu.

Dalam bekerja, ramai yang tidak boleh ditegur kesilapan. Menganggap si penegur sebagai "pendengki". Seandainya kita ambil teguran itu sebagai motivasi, nescaya kita akan berada di satu lagi tahap prestasi...

Jangan jadi seperti tangkis. Di gosok tika tercarik, rupanya dipukul selepas digosok. Bila sudah hancur, dibiarkan bertaburan..

Kritikan biarlah membina. Binalah diri diatas kritikan. Fikiran hendaklah sentiasa terbuka dan mintalah kritikan bukan pujian. Tidak akan jadi sebilah pedang yang tajam sekiranya tidak ditempa,dibakar,diketuk dan diasah.......

Monday, March 22, 2010

OBSERVE KALI KE -2

Balik-balik aku pesan,lepas ni tolong diam...siapa bising aku potong markah...waktu RMT aku pesan lagi kepada 'otai' bising supaya lepas ni tolong jangan buat perangai...Al maklumlah, kelas terpilih selepas ujian KIA2M.

"Mat,kau ni takut nape..kang doh biase doh kang..saye nok maghi tengok je bukang nok wak nape"
"Bukan ustazah, saye kekok sikik kalu ade oghang kelih saye ngajo..hehehe."

Tatkala masuk kelas,aku sudah risau, aksi apa lagi yang bakal ditunjuk oleh murid-murid tahun satu ni. Kalau dulu dibuatnya aksi 'bubut-bubut'. Bermulanya set induksi, pelajar mula bising berlari ke hadapan kononya teruja dengan soalan yang aku tanya...huh, mati aku...!!

Pensyarah di belakang memerhati detik-detik yang mendebarkan bagi aku. Titik-titik peluh mula muncul dari liang roma. Akhirnya aku butakan mata. Anggap seperti biasa,seperti hari-hari lain tanpa pensyarah. Keadaan bising sekejap terkawal,sekejap luar kawalan. mati akal aku...Alhamdulillah, pengajaran berjalan dengan lancar...Walaupun dari awal sampai akhir, bunyi bising memenuhi ruang kelas.

Mula aku berfikir, kenapa sebelum ni sama juga kaedah aku mengajar,tapi keadaan dapat dikawal. Walaupun pada mulanya sedikit kecoh sebab waktu aku selepas rehat. Pada anggapan aku, mungkin kerana adanya orang melawat, maka tabiat kanak-kanak sukakan perhatian mula la membuat aksi...satu kemungkinan juga. Ataupun waktu ada pensyarah,aku terpaksa berlembut selembut kulit bayi..membuatkan anak-anak ini jadi berani...

Mungkin juga, sebab komen daripada pensyarah: bersopan santun dan berbudi bahasa...hahaha aku ketawa!!! Siap kau lepas ni anak-anakku..

Sunday, March 21, 2010

TAKDIR



SUMBER ASAL: Taman2Syurga@yahoogroup.com

Perihal takdir Allah swt termasuk dalam hal yang disebut sebagai tauqifiyah (diberhentikan perbicaraan mengenainya hanya sekadar pada dalil yang sampai dari kitab dan sunnah).

“ Maka sembahlah Dia (Allah) dan bertawakallah kepada-Nya dan sesungguhnya tidaklah tuhan-Mu lalai dari apa yang kamu lakukan” (Hud : 123).

Nabi salallahualaihiwasa lam pernah berdoa dengan menyebut : "Dan Aku mohon berikanlah aku menjadi redha kepada Qadar" (hadith sahih diriwayatkan oleh Nasaie dan Hakim dan disepakati oleh Adz-Zahabi).

Juga baginda bersabda lagi : " Sesungguhnya telah hancur golongan sebelum kamu kerana berselisihnya mereka dengan para nabi mereka dan tidaklah sekali-kali beriman seorang di antara kamu selagi dia tidak beriman dengan qadar kesemuanya sama ada yang baik atau yang buruk" (Hadith hasan lihat dalam Kitab Sunnah oleh Ibn Abi Asim).

Bagaimanakah berlakunya takdir itu ?

Disebut dalam hadith yang sahih bahawa takdir itu yang berlaku ke atas hamba-hamba Allah yang ditetapkan oleh Allah menjadikan segala sesuatu itu terjadi takdir yang berlaku secara sudah tertulis sejak awal.

Adapun begitu amal dan perbuatan tetap menjadi kiraan kerana sesuatu takdir itu menimpa di atas amal yang dilakukan dan amal itu berlaku berasaskan takdir yang telah ditentukan.

Hadith Umar ra yang bertanya nabi tentang amal dengan mengatakan : " Apakah pandanganmu tentang amalan (manusia) yang dilakukan apakah ianya sudah ditetapkan sebelumnya atau baru berlaku ? Maka dijawab oleh baginda dengan bersabda : "Sesungguhnya telah pun ditetapkan segala sesuatu pada setiap perkara" maka di balas oleh Umar : "Apakah kita harus menyerah sahaja kalau demikian ? Maka bersabdalah baginda nabi : "Beramallah wahai anak Khattab, segala sesuatu itu sudah dipermudahkan adapun barangsiapa yang tergolong dari ahli kebaikan (syurga) maka dia dijadikan beramal dengan amalan ahli syurga dan barangsiapa yang tergolong dalam ahli siksa maka dijadikan dia beramal jahat untuk neraka " (Hadith sahih, riwayat Ahmad 29 Jilid 1).

Demikianlah juga kisah yang berlaku dalam Bukhari dan Muslim mengenai protes Musa as kepada Adam as dan lain-lain riwayat yang menunjukkan kita bahawa amal dan takdir itu saling berkaitan.

Seseorang itu mendapat takdir yang menimpanya ialah berdasarkan perbuatannya dan perbuatannya itu sudah pun ditakdirkan oleh Allah swt akan apa yang akan dilakukan dan dia sendiri tidak menyedarinya.

Kita (lelaki) misalnya akibat kebodohan kita, keegoan dan pelbagai lagi kesilapan yang dilakukan akhirnya menyebabkan kita kehilangan perempuan yang kita kasihi dan sesungguhnya perbuatan kita itu menjadi sebab berlakunya takdir (perpisahan) yang menyedihkan tetapi perbuatan kita (melukakan hati perempuan yang dikasihi dan lain-lain kesilapan) juga sebenarnya merupakan sesuatu yang sudah ditakdirkan.

“Dikalangan mereka (manusia) ada yang celaka dan ada yang bahagia” (Hud : 105).

Kerana itu Orang yang beriman dan berilmu mengetahui dan beriman dengan segala takdir Allah swt baik yang suka atau yang pahit. Mereka mengerti kesilapan yang dilakukan itu adalah kerana ditakdirkan dan akhirnya membawa satu takdir yang wajib diimani.

Nabi salallahualaihiwasa lam bersabda : "Adapun ahli syurga dipermudahkan supaya mereka dapat beramal dengan amalan ahli-ahli syurga dan ahli neraka dipermudahkan supaya mereka beramal dengan amalan-amalan ahli neraka" (Hadith sahih dengan ijal yang siqah dikeluarkan oleh Al-A'jari ).

Lalu mereka (orang yang beriman) segera bertaubat memohon kepada Allah swt supaya dipilih untuk termasuk dalam kalangan yang dipermudahkan kepada amalan kebaikan dan dipilih supaya termasuk di kalangan mereka yang diredhai lalu dipermudahkan untuk melakukan amalan-amalan soleh yang membawa kepada takdir yang baik dan diredhai.

Seperti yang terdapat dalam hadith dari riwayat Anas bin Malik ra yang berkata bahawa baginda rasulullah salallahualaihiwasa lam kerap membaca doa : “Wahai tuhan yang membolak-balikkan hati tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu” maka para sahabat pun bertanya apakah hati itu boleh dibolak-balik ? Maka baginda pun menjawab : “ Ya, Sesungguhnya hati-hati itu berada di antara jari-jari Allah dan Dia (Allah) membolak-balikkanny a sebagaimana yang dikehendaki- Nya” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no. 2140 dan Ibn Majah no.3834).

Bagaimana Mahu Menghadapi Takdir Allah yang Pedih dan Sedih dan Cara mendapat takdir yang baik dan menghindari dari Takdir yang Buruk ?

Melalui penjelasan ringkas sebelum ini sudah memberi kesedaran dan pemahaman bahawa takdir itu sudah ditetapkan oleh Allah swt sejak dalam perut ibu lagi kepada hamba-hamba- Nya ini seperti yang disebut dalam hadith dari riwayat Ibn Mas’ud ra yang menyebut rasulullah bersabda :

“Sesungguhnya setiap dari kamu yang mula terbentuk jasadnya dalam perut ibunya selama 40 hari maka kemudian akan menjadi segumpal darah dan kemudian menjadi pula ketulan daging lalu Allah mengutuskan padanya malaikat untuk meniupkan pada jasad itu akan ruh dan menulis empat perkara : iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya dan pengakhirannya apakah bahagia atau celaka dan demi zat yang tiada yang berhak disembah selain-Nya sesungguhnya sekiranya sekalipun ada di kalangan kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga seolah-olah antara dia dan syurga itu cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis bahawa dia di kalangan ahli neraka maka nescaya dia selepas itu akan beramal dengan amalan ahli neraka lalu masuk ke dalamnya dan tidaklah seorang itu melainkan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga antara dirinya dengan neraka cuma sejengkal namun apabila sudah tertulis dirinya sebagai ahli syurga maka dia kemudiannya akan beramal dengan amalan ahli syurga lalu masuk ke dalamnya” (hadith sahih isnad melalui pensyaratan syaikhan diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dan Ahmad ).

Maha suci Allah hanya kepada-Nya kita kembali dan memohon perlindungan dari takdir yang buruk dan pengakhiran yang tidak baik.

Sesungguhnya hendaklah kita berasa bimbang dan takut bahawa kita tidak termasuk di kalangan yang terpilih untuk mendapat hidayah dan kebaikan dengan berusaha meminta dan memohon kepada Allah swt tanpa henti dan tangguh supaya termasuk di kalangan yang mendapat hidayah dan takdir yang baik.

Berikut ialah perkara yang perlu dilakukan :

1) Memperbanyakkan doa dan amalan soleh serta meninggalkan maksiat juga melaksanakan apa yang diperintahkan.

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Dari Sauban ra berkata bahawa telah bersabda rasulullah : "Tidaklah ada sesuatu pun yang dapat menolak takdir melainkan doa” (hadith Sahih riwayat Ibn hibban dalam sahihnya disepakati oleh adz-dzahabi) .

“Dan berkatalah tuhan-Mu, berdoalah (mintalah) kepada Aku nescaya aku akan tunaikan (makbulkan) bagi kamu (akan permintaan kamu)” (Surah Ghafir :60).

Memperbanyakkan amalan Soleh seperti sedekah

Dari riwayat Anas bin Malik ra bahawa rasulullah salallahaulaihiwasa lam bersabda : " Sesungguhnya sedekah itu dapat menyekat kemurkaan Al-Rabb (Allah)" (Hadith Hasan, riwayat Tirmidzi no. 664).

2) Bersabar serta bersangka baik kepada Allah swt dan mengharap rahmat-Nya serta tidak berputus asa di atas segala derita yang menimpa dan takut serta harap kepada rahmat dan kasih sayang-Nya.

Sabda baginda salallahualaihiwasa lam “ Janganlah kamu mati melainkan berada dalam keadaan husnul zon dengan Allah swt” (hadith Sahih riwayat Muslim, Ahmad dan Baihaqi).

Ini disebut dalam hadith yang diriwayatkan oleh Syuhaib ra yang meriwayatkan baginda bersabda :

“ Sungguh menakjubkan perihal orang mukmin kerana semua perkara yang menimpanya ialah kebaikan dan tidaklah berlaku perkara ini melainkan hanya kepada orang yang beriman. Apabila dia diberi nikmat lalu disyukurinya maka menjadilah nikmat itu sebagai kebaikan baginya. Sebaliknya apabila dia diuji dengan musibah maka dia bersabar lalu menjadikan pula musibah itu sebagai kebaikan baginya” (Hadith sahih riwayat Muslim no. 2999).

“ Dan bersabarlah serta tempatkan dirimu bersama orang-orang yang sering berdoa kepada tuhan mereka” (Al-Kahfi : 28).

“ Dan memintalah kamu akan pertolongan Allah dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya yang demikian itu sangatlah berat melainkan bagi mereka yang khusyuk” (Al-Baqarah : 45).

3) Bertawakal kepada Allah swt selepas berusaha melakukan sesuatu amalan dengan sebaik-baiknya menurut pertunjuk Allah dan rasul dan bersangka baik serta menyerah kepada takdir Allah swt dengan penuh keredhaan dan lapang hati serta yakin.

Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi ra dalam sunannya akan hadith dari Ibn Abbas, Abdullah ibn Abbas ra yang berkata : “Sesungguhnya aku berada di belakang nabi salallahualaihiwasa lam pada suatu hari dan baginda lalu bersabda :

“Wahai pemuda sesungguhnya aku akan mengajarkan kamu beberapa kalimah (pesanan) iaitu :

Peliharalah Allah (pelihara hak-Nya) maka nescaya Allah akan memelihara kamu, Peliharalah Allah (taati perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya) maka nescaya engkau akan mendapati Dia (Allah) akan membantu engkau,

jika kamu hendak meminta sesuatu maka mintalah kepada Allah dan jika kamu hendak memohon perlindungan dari sesuatu maka mohonlah perlindungan dari Allah.

Ketahuilah jika umat seluruhnya berkumpul untuk memberi manfaat kepada engkau dengan sesuatu maka tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada engkau melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan kepada engkau dan

jika seluruh umat berkumpul untuk memudharatkan engkau dengan sesuatu maka tidaklah memberi mudharat mereka itu melainkan dengan apa yang telah Allah tetapkan buat engkau.

Telah terangkat qalam-qalam dan telah kering dakwat (satu perumpamaan yakni telah selesai urusan penyampaian pesanan)” (Hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2516).

Bahkan turut disebut dalam Hadith yang lain riwayat Anas bin Malik bahawa baginda sentiasa membaca doa “ Dengan nama Allah aku bertawakkal hanya kepada Allah” (Hadith Sahih, riwayat Tirmidzi no.2724 ).

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Surah Ali-Imran : 159).

Segala puji hanyalah bagi Allah swt

Rujukan :

i) Tafsir Al-Qur’an
ii) Kitabul Sunnah oleh Ibn Abi Asim (wafat 287 Hijrah)

Qoute :

Sesungguhnya tulisan ini ditulis sebagai meringankan beban batin yang menekan bagi sesiapa
yang diuji dalam kehidupan moga beroleh penyelesaian dan pemahaman.

Oleh : Ustaz Emran


Saturday, March 20, 2010

PERCAYA



Kadang-kadang kepercayaan kita pada seseorang perlu ada batasnya.
Bukan tidak mempercayai, tapi ada hadnya.
Bukan su 'u zhon, tp ada batasnya..
Kita kadang-kadang terlalu mudah untuk percaya pada seseorang. Percaya, rupa-rupanya hanyalah gurauan. Nasib baik bukan satu penipuan.
Boleh dimaafkan.
Kita juga kadang-kadang tidak percaya pada seseorang. Bukan ber'su uzzhon' tapi cerita itu agak sesuai untuk menipu kanak-kanak. Tapi, kadangkala kita percaya juga. Kerana bukti untuk kata dia penipu tiada. Teruskan bersangka baik. Itulah yang dituntut. Bila bukti terpampang di depan mata. Kita mula tidak percaya. Bukan pada si penipu. Tapi tidak percaya pada bukti. Mustahil,dan menafikan bukti. Kerana kepercayaan. Akhirnya kepercayaan kita luntur dan terhakis. Walaupun tidak percaya pada bukti. Masih menafikan bukti. Namun mengiyakan bukti. Kata-kata bersulam nista. Mudah untuk dipercaya. Jadilah pemimpin. Jikalau pandai putar belit. Kerana rakyat tetap percaya. Mahu berkawan. Jangan berbelit. Kerana kawan itu sebahagian anda. Anda adalah kawan. Kawan adalah anda. "Maka perelokkanlah ukhuwwah di antara kamu..."

"Busuknya mulut seorang penipu,sehinggakan malaikat menjauhkan diri darinya berbatu-batu jauhnya"

Friday, March 19, 2010

Hanya Insan Biasa



Aku bukan mulia
aku juga manusia biasa
sekeping hati
seketul akal
selembar perasaan

aku menangis
aku ketawa
aku gembira
aku kecewa
aku ada perasaan sama

aku bukan mulia
bukan malaikat
bukan para sahabat
punya lidah berbicara
sekadar nasihat ketika lupa

aku juga manusia
lupa
alpa
leka
lara

gelaran bukan ukuran
pokoknya adalah iman
buahnya amalan
aku daun nian kekeringan

usah disanjung nama
usah disebut jasa
sekadar manusia hina
yang sering berdosa...................................................................................................

"Sssss"


sana
situ
sini
sama saja

sakit
suka
sayang
sepi
silih berganti

saya
si dia
si anu
si polan
siapa saja

sering
sentiasa
sekali-sekala
sekejap
sementara
selalu ada

setiap masa
setiap ketika
selagi kita
segar kuasa
selagi hayat
semat di dada

sentuhan:
"sanggupa
saat sepuluh tiga belas
sabtu malam 2010"

Wednesday, March 17, 2010

SAMAN



sebelum bertolak aku 'check' road tax motor..alamak..mati..dua hari sudah road tax motor aku mati. Tak ada bau la pulak hahaha...

Ahh...tawakkal je lah..di KK bukan selalu ada road block. Aku pegi Kudat pun bukannya ada lesen.selamat ja..

Ni pun bukannya ada lesen aku jalan-jalan..Insya Allah selamat..brruuummm...motor berderu menuju ke KK dari Telipok bersama-sama kawan-kawan.

Pusing-pusing bandar KK, tiba-tiba sampai satu selekoh...na...roadblock...!!!

Polis: mintak lesen...
aku bagi lesen kereta yang sudah di 'renew' kan..Abang polis berkerut-kerut dahi melihat lesen...aku pun bagi yang ada gambar..kesian juga tengok dia berkerut-kerut dahinya hehe..

Polis: Na..ni lesen D saja..mana lesen motor..??
aku: aa..oo..kreta saja..
polis: bagi rodtax..

aku keluarkan rodtax.muka buat selambe macam tak bersalah..kononya tak tahu la rodtax tu dah mati...haha...

polis: la..rodtax pun dah mati..dua hari sudah ni...
aku: err..mati???(buat-buat tak tahu)
polis: ada seko anak tupa...(menyanyi lagu dikir bila tengok alamat aku tertulis "kelantan")

polis tu berlalu dengan membawa lesen dan rodtax aku pergi ambil surat saman sambil berdikir...

aku: err..encik, takkan takda konsider..maah la cik..(aku cakap bercampur-campur sabah dan kelantan)
polis: eishh...mana buleh..
aku: mintak maah la cik..err..(sambil gosok-gosok belakang abang polis)
polis 2: wei..mu jange gosok polis gitu...

rupanya sorang lagi tu polis kelantan..ceh

polis: ya..jangan gosok gitu..nanti apa pulak orang cakap...
aku: oo..tak boleh ka?ooo betul kan..

akhirnya aku disaman....sekian terima kasih....hahahahaha

P/S: aku puji polis-polis tadi sebab cara buat kerja ramah mesra..kawan aku siap bersembang lagi.rupanya polis dari semenanjung..tahniah...!!

Monday, March 15, 2010

BUDAYA



Suatu masa dulu kita dikejutkan dengan budaya BLACK METAL,JIT,PUNK,SKINHEAD dan pelbagai lagi budaya yang mencemarkan imej ISLAM kerana kebanyakan penganut budaya ini adalah anak-anak ISLAM.

Melakukan ritual-ritual yang ternyata bertentangan dengan islam seperti membakar Al-Quran, pesta zina,minum arak memuja syaitan dan pelabagai lagi amalan-amalan kumpulan yang ternyata menjatuhkan aqidah sebagai seorang MUSLIM.

Bukan aku mengungkit isu lama,tetapi isu ini berterusan selagi ada pengikut fanatik dan jiwa muda yang mahu mendapatkan perhatian masyarakat. Jiwa protes remaja, dahagakan perhatian,kasih sayang dan tunjuk hebat menghidupkan budaya-budaya ini.

jika diperhatikan, kenapa budaya sebegini menular di dalam masyarakat ISLAM...sedangkan kita tahu asal penubuhan kumpulan ini adalah hasil daripada ketidak puasan hati segelintir masyarakat terhadap masyarakat.

yang aku hairan, kenapa memilih jalan ini?sedangkan umat islam ada cara yang terbaik. memprotes bukanlah dengan menjadikan diri lebih buruk daripada yang diprotes. Protes masyarakat dengan menjadi lebih teruk daripada masyarakat yang diprotes...sepatutnya mereka sedar, kelakuan mereka juga tergolong dalam kelakuan yang diprotes!!

mengatakan masyarakat jahat dengan menjadikan diri sendiri lebih jahat daripada masyarakat. Sepatutnya mereka menjadi peng"islah" masyarakat dengan cara yang ditunjukkan dalam islam bukan dengan cara sesat orang barat. Aku pernah dengar kata-kata "BLACK METAL ISLAMIC" kerana memprotes kristian...dengan memakai salib terbalik...sedangkan memakai salib itu sudah menjadi kesalahan...dan melakukan ritual yang bertentangan dengan islam...islamik kah itu??tambahan pula tidak pernah solat!!!sungguh mudah ditipu syaitan...kononnya inilah cara islamik kerana membenci agama lain. sedangkan itu tidak pernah diajar dalam islam.

soal pemakaian aku tidak kisah.pakailah cara apa pun...asalkan menutup aurat,kemas dan kena dengan adat setempat...dan ingatlah..barangsiapa menyerupai sesuatu kaum, maka mereka adalah tergolong dalam kaum tersebut. dan juga, bila dibangkitkan nanti, kamu akan mengikuti pemimpin kamu semasa di dunia..jikalau mengikut pemimpin sesat,sesatlah,jikalau zalim,zalimlah ikutanmu.

Sunday, March 14, 2010

ALIM GILA

Satu hari seorang lelaki datang ke masjid untuk sembahyang berjemaah.. Rukuk sujud bersama imam..Cuma kadang-kadang mendahului imam. Paling kuat mengaminkan Al-Fatihah imam.

selesai bersembahyang aku bertanya siapakah gerangan lelaki itu? baru aku tahu dia kurang siuman..bahana dadah...sewaktu aku lepak kat bawah masjid sambil merokok dia menegur aku: buat apa lagi? jomla (mengajak naik ke masjid). Inilah yang diktakan orang ALIM GILA.

begitulah, ada orang yang waras tidak mahu sembahyang. tapi yang tidak waras yang mana kewajipan syariah menjadi tidak wajib keatas mereka pula rajin bersembahyang. terbalik sudah dunia ni.

jika difikir, Bagus juga gila tapi alim daripada jadi GILA ALIM. Diri jahil tapi berlagak alim. Bercakap mengalahkan ulama' pandai menutur ayat-ayat. Orang itu salah,orang ini salah..padahal dirinya, kitab pun tidak kenal apatah lagi baca kitab.

Dapat satu ayat, berceramah bagai ilmu satu gunung. dengan angkuh menuduh orang tidak betul. dia lah yang betul. dengarlah cakap dia membawa ke syurga...amalan-amalan lain sesat,khurafat, neraka...

Aku mula bosan dengan orang-orang ini. berlagak alim tapi jahil. lebih baik jahil(gila) tapi alim.

Saturday, March 13, 2010

KHAIRA UMMAH?


Baru-baru ini sekolah aku mendapat tempat ke dua dalam perarakan Maulidur Rasul. Dengan membawa kain sepanduk bertulisan khat khufi yang bermaksud:

"kamu sebaik-baik ummat yang menyuruh kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran..."

Apakah dengan mendapat no 2 atau 1 dalam perarakan menjadi kebanggaan kita? Berpuas hati dengan usaha yang dilakukan?Sedangkan selepas itu sepanduk dilipat dan disimpan di dalam laci...setahun demi tahun sehingga penuh laci...ayat demi ayat dilakar. Demi menjaga kesucian ayat terpaksa disimpan dalam almari. Akhirnya almari dipenuhi dengan sepanduk ayat-ayat tema maulidur raasul setiap tahun...

Yang menjadi persoalan aku ialah, apakah aku mengamalkan apa yang aku tulis? Apakah aku menyuruh kepada kebaikan? Adakah aku melarang kepada kejahatan? Sebaik-baik ummatkah aku?

Mengarak sepanduk menjadi tradisi setiap tahun (walaupun tidak menjadi salah sekiranya masih terjaga adat dan syariat)tapi kita lupa untuk mengamalkan apa yang diarakkan di sepanjang jalan dibawah terik matahari...yang kita tahu hanyalah sepanduk aku mesti mendapat nombor...sedangkan yang wanitanya keluar dengan bertabarruj.

aku? aku pun sama...bila menang,mendapat nama...sepanduk disimpan bersama-sama pengamalan ayat yang menyuruh kepada kebaikan...tinggallah ayat yang cantik hanya untuk dinilai bukan untuk diamalkan...astaghfirullah..........

Friday, March 12, 2010

BOKEH




Gambar sebegini biasanya menggunakan kamera SLR. Menggunakan lens untuk fokus yang jauh atau dekat supaya menghasilkan "bokeh"(blur/kabus).
Tapi kali ini aku menggunakan kamera "henpon" satu "gadjet" yang terhad dengan bantuan "adobe photoshop" untuk menghasilkan gambar ada "bokeh".
Menggunakan teknik "masking" iaitu melapis dua gambar. Satu gambar aku jadikan "blur" menggunakan "gaussian blur" di menu "filter".
Kemudian dilapiskan gambar "blur" diatas satu lagi gambar yang "original". Kemudian gunakan "eraser" untuk memadam kawasan yang tidak dikehendaki...
memang ada kecacatan kerana ianya bukanlah "bokeh" asli..ketelitian amatlah diperlukan semasa memadam kawasan yang tidak diperlukan untuk menghasilkan gambar "bokeh" seakan-akan kamera SLR. Enjoy....

model: ustazah salawati (semasa majlis permuafakatan ibubapa dan guru).

BAHAGIA 2


manusia mencari kebahagiaan..kerana merasakan diri tidak bahagia..
manusia merasai kekurangan dalam hidup..
ramai kita tengok kehidupan artis barat,timur mahupun di negara kita..yang kita lihat hidupnya penuh dengan kemewahan..keindahan..apakah kesenangan yang dimiliki itu adalah kebahagiaan?

saban hari kita terbaca di akhbar..artis bunuh diri..artis ditangkap mengambil dadah (contoh)..

mengapa ini terjadi??apakah kerana tidak bahagia??apakah kemewahan itu cukup untuk membahagiakan kita?apakah hidup yang sosial itu membahagiakan kita?

dimanakah bahagia? aku turut tertanya-tanya...seperti post aku yang lepas,bahagia ialah gembira (gembira dengan kehidupan yang dilalui)dan caranya ialah dengan menjaga hubungan baik dengan setiap makhluk...

aku lupa...satu-satunya punca bahagia ialah REDHA...kerana aku lihat ramai yang ada masalah tetap hidup bahagia..biarpun tidak berharta,biarpun musibah melanda...REDHA ialah pengubat hati punca bahagia...REDHA dan BERSERAH pada Allah itulah punca kebahagiaan..

memanglah berkata itu mudah...kata-katalah pemujuk akal yang ada..biarpun tidak seindah kata,yang penting kita cuba...

(aku juga pernah merasai saat hilangnya kebahagiaan..berkata atas pengalaman)

Thursday, March 11, 2010

BAHAGIA


Apakah pengertian bahagia...bagaimanakah untuk mencapai bahagia...??
Bagi aku, bahagia ialah kita rasa gembira,suka dan tidak terasa adanya masalah(walupun ada masalah)...

Perasaan bahagia akan hadir jika kita tidak ada perasaan sakit hati dengan orang lain,rasa senang dengan orang sekeliling dan menjalinkan hubungan baik dengan alam serta makhluk lain.

Perasaan tidak bahagia timbul kerana kita diselubungi dengan pelbagai masalah,rasa tidak puas hati,dan sebagainya....

cara-cara untuk mencapai bahagia:
1- memaafkan orang lain
2- fikirkan positif
3- senyum sentiasa
4- hubungan baik sesama makhluk
5- tidak menyimpan dendam atau tidak berpuas hati
6- hidup dalam komuniti

sesungguhnya orang mu'min itu bersaudara, maka pereloklah persaudaraan diantara kamu....
berdoalah meminta kebahagiaan di dunia dan akhirat....

Saturday, March 6, 2010

DIA LEBIH TAHU..


Setiap sesuatu di atas muka bumi ini tidak terlepas dari pandangan Allah. Bahkan sebutir pasir di dasar laut Allah tahu pergerakannya. Hati manusia, walaupun kita tidak tahu apa di dalamnya, namun Allah lebih mengetahuinya...

Allah lah yang maha mengetahui...dan apa yang diciptakan,apa yang berlaku,kenapa ia berlaku semuanya Allah lebih mengetahui...usahlah mengeluh di atas apa yang berlaku, kerana Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hambaNya...

Dan setiap amalan adalah dengan niat...

Thursday, March 4, 2010

MERONG MAHAWANGSA DIFILEMKAN

Sambil mengadap laptop aku tengok gala TV.."HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA" sebuah nama cerita yang popular masa aku kecik2 dulu. Biarpun aku tak faham ceritanya sebab masa tu aku masih kecil.

Kali ni "epik" ini dijadikan "movie" dan diangkat ke peringkat antarabangsa..Bila aku tengok "preview" filem ni,nampak macm bagus dari segi teknik Penggambaranya dan kualiti videonya. seakan-akan 'movie' Ong Bak 2 dari segi pakaian dan warna filem.

Aku dengar filem ini arahan KRU...kena tunggu filem ni...macam best...

"hikayat merong mahawangsa mengisahkan seorang anak raja yang gagah...aku lupa da cerita dia..kena cari balik buku lama tu...."

Wednesday, March 3, 2010

EMOSI GAMBAR



Aku suka tengok dua gambar ni..ada emosi pada wajah budak ni..gambar menceritakan segalanya...sekeping gambar lebih baik daripada seribu perkataan...
EMOSI dan ekspresi wajah subjek sangat penting dalam bergambar...

Tuesday, March 2, 2010

LATIHAN MASKING



Latihan 'masking'...rupa-rupanya tadi aku silap menggunakan 'greyscale' sebagai lapisan. Patutlah bila aku lapis gambar tu,dua-dua gambar jadi 'grey'..tapi menjadi jugak...bila aku tanya balik sifu,dia kata kena guna mode 'black n white' barulah gambar lapis tu tak ikut warna grey 'background'

aku pun carilah 'black n white' dalam adobe photoshop tapi tak ketemu...cari punya cari,terjumpalah 'desaturature'...

aku 'desaturature'kan layer...kemudian lapiskan ke atas 'background'.aku 'erase'kan 'layer' untuk mendapatkan warna 'background'..kemudian aku pergi ke 'filter' aku dapatkan 'render'...aku ambik 'lighting effect'...SIAP!!!

gambar diatas ialah gambar kakak aku bersama suaminya di tambak Tok Bali..

Monday, March 1, 2010

MASKING



lama sudah aku ingin mencuba teknik ni.bila tengok gambar kahwin,aku tertanya-tanya macamana gambar ini dihilangkan warna.aku tanya sifu,dia cakap teknik 'masking'...dilapis dua gambar.bila aku cuba berkali-kali akhirnya berjaya.

satu gambar dijadikan 'black n white' dan dilapis ke atas gambar yang berwarna.kemudian gunakan 'eraser tool' untuk padam bahagian yang mahu kelihatan berwarna..enjoy!!!

Gambar diambil semasa cikgu ain melukis batik,hanya menggunakan kamera 'handphone'.

Saturday, February 27, 2010

PENGAJARAN BUATKU

Aku rasa sangat sayu..kenapa rasa macam mahu menangis..wajahnya yang tenang,ketawa bersama rupanya menyimpan satu dilema yang amat besar..tatkala diluahkan padaku,terasa bagai mahu menitis airmataku..aku tahu..dia menahan sebak..tapi dia sempat melawak..

kerana cinta mat..walaupun aku nampak bibit-bibit perangainya,aku pejamkan mata.betullah cinta itu buta..aku fikirkan anak-anak masih kecil..kalau tidak...

Ya Allah..berat betul ujianMu keatas hambaMu itu..aku pulang dengan kesayuan..

malam ini aku dapat pengajaran..berharga..untuk aku rancang masa depanku..jangan tersilap langkah.tapi aku yakin,itu percaturan Allah..tidak ada sesuatu Allah jadikan di atas muka bumi ini sia-sia.Allah tidak akan membebankan hambanya dengan sesuatu ujian yang tidak mampu hambanya pikul...

dalam hati aku berdoa agar dijauhkan dari perkara sebegitu..na'uzubillah..

Friday, February 26, 2010

WANITA SOLEHAH??



satu tulisan yang agak menarik untuk dibaca...enjoy


Kedudukan wanita yang Solehah tidaklah dapat dicapai dengan hanya menonton drama filem cinta Korea atau membaca novel-novel cinta atau menyertai mana-mana jemaah atau kumpulan lalu memakai pakaian jubah dan bertudung labuh sahaja.

Kita tahu betapa ramai wanita bertudung labuh dan berjubah sering menghancurkan hati lelaki-lelaki yang beriman dan mengecewakan para pejuang Islam dan kita juga tahu wanita yang mengambil jurusan agama pun seringkali mungkir janji dan berlaku khianat.

Seperti lelaki, kita juga mengetahui lebai dan kopiah boleh dipakai dan ditanggal sekaligus juga janggut boleh tumbuh dan dicukur lalu menjelaskan bahawa penampilan luaran selalu tidak dapat dijadikan sebagai kayu ukuran kesolahan dan kebaikan..

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Ketahuilah bahawa dalam tubuh ini terdapat segumpal daging Jika ianya baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan sebaliknya apabila ianya rosak maka rosaklah pula seluruh tubuh ini.” (Hadith sahih riwayat Bukhari 1/126 dan 4/290-Al Fath, Muslim 1599 dari Nu’man bin Basyir radliyallahu 'anhuma).

Islam Memberi Jalan Penyelesaian

" Mudah-mudahan tuhan-Nya, jika nabi menceraikan kamu bahawa tuhan pasti akan mengantikan kamu dengan isteri-isteri yang lain yang lebih baik dari diri kamu iaitu perempuan-perempuan muslimat, mukminat yang taat dan bertaubat serta beribadah yang berpuasa baik janda atau perawan" (At-Tahrim : 5).

Allah menyebut beberapa ciri perempuan yang solehah iaitu :

1) Perempuan muslimat yang beragama Islam dan menyerah diri kepada Allah dan rasul
2) Perempuan mukminah yang beriman dan yakin kepada Allah dan janji-janji- Nya
3) Muslimah yang taat kepada Allah dan rasul serta kepada suami
4) Muslimah yang seringkali bertaubat di atas dosa-dosa dan kesalahan dan kejahilannya
5) Muslimah yang rajin menunaikan ibadah dan berpuasa kerana dengan puasa itu dapat mengawal hawa nafsu dan kelakuan.

“ Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki- Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

Islam mengajar untuk mengetahui kebaikan agama seseorang ialah melalui amalan kebaikan yang dilakukan dan kesungguhan seseorang pada agama dan hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui kehidupan yang dilaluinya.

Seorang Saleswomen (penjual perempuan) yang bekerja di supermarket sekalipun kerjanya tidak bagus apabila terpaksa bercampur dengan lelaki dan menjebakkan dirinya kepada sosial dan mempromosikan barangan sehingga mendedahkan dirinya kepada pandangan buruk dan fitnah tetapi adakalanya mereka ini memiliki hati yang mulia dan suci.

“Dan hamba perempuan yang mukminah itu lebih utama dan baik bagi kamu dari perempuan musyrik yang kafir walau dianya menarik perhatian kamu” ( Al-baqarah : 221).

Mengasihi orang tua, orang susah, tidak suka bahkan benci menyakiti hati manusia lainnya apatah lagi menghancurkan hati seorang lelaki yang beriman dan sanggup bekorban menghancurkan dirinya sendiri (memiliki sifat ihsan) demi kebaikan orang lain menyebabkan tanpa tangguh golongan sepeprti ini mendapat rahmat Allah dan akhirnya dibimbing kepada hidayah dan pertunjuk dan hidupnya diberkati di langit sekalipun di bumi dia berasa hina dan tiada maruah.

Malaysia, dipenuhi wanita-wanita yang tidak bertudung , tidak menutup aurat , jahil agama dan tiada kesedaran untuk melaksanakan Islam tetapi dalam kerosakan itu ada di celah-celah kaca yang melukakan anak adam akan sejumlah wanita suci yang bersih hatinya tetapi diuji oleh Allah dengan berada di lingkungan kekotoran.

Mereka membesar tanpa ilmu agama, tanpa hidayah pertunjuk lalu hidup sosial dan bebas sehingga merosakan diri mereka tetapi punyai hati yang bersih dan suci. Alangkah bagusnya jika lelaki-lelaki muslim mendapatkan wanita-wanita ini dan diberi bimbing serta dipandu mereka sehingga mendapat hidayah dari Allah swt.

Kepentingan Hati dan Akhlak yang Baik

Sebaliknya kita mengetahui pula, wanita yang berpakaian jubah dan tudung labuh dan mendalami pengajian agama kerap kali melanggar batas dan merasa mereka mulia dan beragama sehingga menyebabkan mereka merasa bongkak dan sombong serta ego dan berlagak lalu dengan itu selalu menghancurkan diri mereka.

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda : “Ketahuilah bahawa dalam tubuh ini terdapat segumpal daging Jika ianya baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan sebaliknya apabila ianya rosak maka rosaklah pula seluruh tubuh ini.” (Hadith sahih riwayat Bukhari 1/126 dan 4/290-Al Fath, Muslim 1599 dari Nu’man bin Basyir radliyallahu 'anhuma).

Bukankah wanita-wanita bertudung labuh dan berjubah ini ialah golongan yang kerap mengatakan kami ingin suami yang berfikrah dan menolak lelaki beriman yang berakhlak mulia hanya kerana fikrah ? Juga wanita bertudung labuh ini ialah mereka yang manis bicara pada lisan tapi kelat dan kotor pada hati dan perbuatan.

“ Katakanlah : Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan keadaan golongan yang hanya merugi amalan mereka ? Iaitu mereka yang sesat perbuatan mereka (jalan mereka) di dunia sedangkan dalam kesesatan itu mereka menyangka mereka sedang berbuat baik”. (Al-kahfi : 103-104).

Menjadi perkara biasa mereka tidak mengenang budi pada lelaki yang bekorban masa depan dan hidupnya kepada mereka dan dengan mudah beralasan konon mahu menjaga hati dan maruah konon tidak mahu bercinta-cinta dan menerima cinta lelaki.

Mereka kemudian tergedik-gedik mahu berkahwin dan sedia menerima cinta apabila lelaki sefikrah dan sefahaman dengan mereka atau lelaki pilihan mereka datang menghulur bunga “ukhuwah” persahabatan dan kemudian berkasih-kasihan dengan mereka di bawah “Cinta Islamik”.

“Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang jijik (keji, buruk)" (Surah Al-A‘raf, ayat 157).

Alangkah sekiranya lelaki muslim yang beriman mengalih mata mereka kepada hati dan melihat kepada peribudi akhlak dan kesungguhan hati yang ingin kebaikan dari seorang wanita lemah di jalanan, di pasaraya, di kota-kota dan bandaraya mungkin mereka akan menjumpai wanita yang dengan mudah dapat menanggalkan pakaiannya untuk diberi kepada lelaki yang dicintainya.

Lalu ketika itu alangkah bagus jika lelaki yang beriman menahan perbuatannya dan mengajar wanita yang suci hatinya akan erti agama, taqwa, malu dan maruah serta menunjuk ajar kepadanya jalan sunnah rasulullah sehingga akhirnya wanita itu benar menanggalkan pakaiannya kepada lelaki itu tetapi dalam hak dan benar menurut syariat Allah swt.

“Adapun golongan yang takut kepada kebesaran tuhan mereka maka mereka menahan hawa nafsunya (tidak menurut hawa nafsu) maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggal mereka” (An-Na’ziaat: 40).

Oleh : Ustaz Emran
sumber: emel dari taman2syurga@yahoogroup.com

Thursday, February 25, 2010



Biarpun menjadi khilaf dalam mengatakan tarikh kelahiran Baginda, Baginda tetap mulia.Bila dilahirkan tidak menjadi masaalah.untuk memperingati kelahiran Baginda yang mulia atau mengingati Baginda tidak terhad kepada masa,atau hari-hari tertentu. berselawatlah kamu keatas nabi...yang penting ialah mengingati Baginda dan mengikut jalan sunnah yang telah Baginda bawa..sesungguhnya Allah dan Malaikat berselawat keatas nabi..wahai orang-orang yang beriman,berselawatlah kamu keatas nabi..

Aku Ahmad Baginda Muhammad
dikatakan lahir pada 12 rabiul awal adapun aku lahir pada 27 rabiul akhir
lahir pada tahun gajah. aku lahir pada tahun babi (ikut kalendar cina)
Baginda berhijrah ke Madinah untuk sebar islam. aku berhijrah ke Sabah insyAllah sumbangan untuk Islam.

apapun aku tidak sama dengan Baginda kekasih Allah...betapa kerasnya hati ini..

mendengar cerita,melihat movie "the messenger" drama bersiri "Qamar Bani Hasyim" menceritakan kesusahan Baginda yang mulia dalam menyebarkan Islam yang tinggi.tentangan,penderitaan,siksaan dan sebagainya dilalui oleh Baginda dan Sahabat-sahabat baginda amatlah dahsyat.

bukanlah Islam sampai kepada kita dengan mudah.tapi kita bersyukur dilahirkan dalam Islam..adalah satu nikmat dan rahmat yang besar dilahirkan dalam Islam,keluarga islam dan negara yang diperintah oleh orang islam.

tapi malangnya...umat yang mengaku Islam ini tidak berbangga dengan nikmat ini.rela ditukarnya dengan nikmat dunia yang sementara.lupa penderitaan Nabi..bahkan tidak kenal pun kerana sibuk dengan hiburan dan keseronokan...

tengoklah bangsa yang sebangsa dengan kita dan seagama dengan kita...merekalah yang mencabar Allah...mengagungkan pembawa budaya-budaya hedonisma lebih daripada mengagungkan Nabi..

dan kita lebih menangis melihat kekalahan peserta nyanyian kegemaran daripada melihat kejatuhan akidah umat islam.

kita lebih sedih menonton drama hindustan daripada menghayati kisah-kisah penderitaan umat islam

kita lebih suka menyanjung orang yang berpangkat daripada ulama'-ulama yang mempertahankan islam

kita,kita,kita....bukan orang lain...kita...kitalah itu...

"Wahai yang membolak-balikkan hati,Kau tetapkanlah hati-hati kami diatas agamaMu...Selamatkanlah kami di dunia dan akhirat..."

Sunday, February 21, 2010

PESANAN BUATMU



Pesanan IMAM GHAZALI kepada anak perempuannya pada hari perkahwinannya:

ANAKKU!

Engkau sekarang akan berpindah dari rumah tempat engkau dibesarkan. Dan akan berada di tempat tidur yang engkau tidak engkau kenal. Dan rakan hidup yang engkau tidak biasa dengannya. Itulah suamimu..

Jadikanlah dirimu ibarat seorang khadam kepadanya. Nescaya dia pula akan menjadi khadam kepadamu. Jangan engkau memaksa-maksa apabila engkau meminta sesuatu daripadanya. Itu akan membuatkan dia berasa benci kepadamu. Jangan pula engkau menjauhkan diri, nescaya dia akan melupakan engkau. Dan kalau dia pula menjauhkan diri secara marah kerana sesuatu sebab yang tertentu. Maka yang eloknya jauhkanlah dirimu daripadanya semasa marah.

Peliharalah hidung, telinga dan matanya…Janganlah membiarkan dia menghidu sesuatu daripadamu melainkan yang harum. Janganlah membiarkan dia mendengar melainkan perkataan yang baik. Dan janganlah membiarkan dia melihat sesuatu daripadamu melainkan yang cantik belaka.

sumber asal: Taman2Syurga@yahoogroup.com

Friday, February 19, 2010



Kalau aku menangis hari ini..
Bermakna dalam kesedihan..
Telah jatuh air mata di lautan diri..
Aku tahu waktu itu...
Aku hanya hamba kepadaNYA..
Terlalu kerdil di dunia fana ini
Dan keranaNYA hari ini..
Aku cuba kembali tenang melihat
Segala kekusutan diri..
Dan pengalaman hidup,
Memberi aku kekuatan untuk terus berdiri sebagai hambaNYA..

SUMBER: Taman2Syurga@yahoo.com

Wednesday, February 17, 2010

UNTUKMU WANITA



Sekadar usaha buat insan yang bergelar wanita.
Ketahuilah betapa hebatnya doa dalam melayari kehidupan…

Ya Allah…
Seandainya telah Engkau catatkan…
Dia milikku tercipta buatku…
Satukan hatinya dan hatiku…
Titipkan kebahagian antara kami…
Agar kemesraan itu abadi…

Ya Allah…
Ya Tuhanku yang Maha Mengasihi…
Seiringkanlah kami melayari hidup ini…
Ketepian yang sejahtera dan abadi…
Maka jodohkanlah kami…

Tetapi Ya Allah…
Seandainya telah Engkau takdirkan
Dia bukan milikku…
Bawalah dia jauh dari pandanganku…
Luputkan dia dari ingatanku…
Dan peliharalah aku dari kekecewaan…

Ya Allah ya Tuhanku yang Maha Mengerti…
Berikanlah aku kekuatan…
Menolak bayangnya jauh ke dada langit…
Hilang bersama senja yang merah…
Agarku sentiasa tenang…
Walaupun tanpa bersama dengannya…

Ya Allah yang tercinta…
Pasrahkanlah aku dengan takdir-Mu…
Sesungguhnya apa yang telah Engkau takdirkan
Adalah yang terbaik untukku…
Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui…
Segala yang terbaik buat hamba-Mu ini…

Ya Allah…
Cukuplah Engkau sahaja yang menjadi pemeliharaanku…
Di dunia dan di akhirat…
Dengarkanlah rintihan dari hamba-Mu yang daif ini…
Janganlah Engkau biarkan aku sendirian…
Di dunia ini mahupun di akhirat…
Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran…
Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman…
Agar aku dan dia sama-sama dapat
Membina kesejahteraan hidup…
Ke jalan yang Engkau redhai…
Dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh dan solehah…

Ya Allah…
Berikanlah kami kebahagiaan di dunia dan akhirat…
Dan peliharalah kami dari azab api neraka…

Amin…amin…Ya Rabbal ‘aalamin.

sumber:taman2syurga@yahoogroup

Monday, February 15, 2010

KASIH SAYANG

Makin hari makin KAW…intipati motivasi Dr Faddhilah Kamsah.

  • Kasih sayang wanita seperti bulan, lembut, kadang-kadang kecil,kadang-kadang besar.
  • Kasih sayang lelaki seperti mattahari, sentiasa mahu memancar dan suka diberi perhatian.
  • Lelaki perlu menanam sifat wanita dalam diri, iaitu suka mempamerkan kasih sayang..jangan terlalu ego dalam perhubungan.

Selepas berkahwin, kasih sayang perlu makin bertambah bukan makin kurang. Kasih sayang semasa bercinta hendaklah bertambah selepas berkahwin. Kasih sayang juga perlu berubah mengikut zaman.

Cabaran selepas kahwin:

  • Ekonomi: masalah keewangan sering menjadi punca perbalahan.
  • Anak-anak: anak-anak yang kecil kadang-kadang mengganggu kerana karenah mereka. Sedangkan anak-anak juga pengikat kasih sayang.
  • Kepercayaan: hilang kepercayaan kepada pasangan mengikis kasih sayang.

Perbezaan mengikat kasih sayang. Perbezaan merupakan perkara yang saling lengkap melengkapi. Perbezaan bukanlah penyebab kerengganan hubungan, sebaliknya melengkapi antara satu sama lain. Perbezaan juga adalah daya penarik dalam perhubungan.

Tips mengikat kasih sayang:

Komunikasi:

Perkara paling penting dalam hubungan. Dengan komunikasi boleh mengukuhkan kasih sayang.

Teori T:

  • Taqwa: asas utama dalam hubungan. Tanpa taqwa mungkin banyak masalah yang timbul. Dengan taqwa inilah timbulnya TAAT. Pasangan saling homat-menghormati dan tahu batas-batas boleh dan tidak boleh.
  • Taaruf: kenal mengenal antara satu sama lain.walaupun bertahun bercinta masih ada perkara yang pasangan masing-masing tidak tahu antara satu sama lain.
  • Taradhi: saling redha meredhai. Redha bukan kepada perkara yang bertentangan dengan syariat.
  • Tafahhum: saling faham memahami antara satu sama lain. Pasangan perlu memahami antara satu sama lain bagi mengelakkan pertelingkahan berlaku.
  • Tasamuh: saling maaf memaafi antara satu sama lain. Sekiranya berlaku perselisihan kecil atau perkara yang kurang baik,hendaklah tidak disimpan dalam hati bahkan saling memaafkan. Hendaklah berlapang dada. Sekiranya ada kesilapan yang perlu ditegur,tegurlah dengan cara baik. Perlu diingatkan, jangan tegur depan anak-anak kerana boleh mendatangkan aib. Suara hendaklah tidak tinggi,sebaliknya tegas tanpa meninggikan suara.
  • Ta'awun: tolong menolong antara satu sama lain.
  • Teman: jadilah teman kepada pasangan anda ketika senang atau susah. Menjadi pendorong terhadap satu sama lain.
  • Tampan: pasangan hendaklah sentiasa dalam keadaan cantik,kemas bagi menambahkan lagi rasa sayang.
  • Terus terang: pasangan perlu berterus terang. Jika ada perkara yang mungkin menimbulkan rasa kurang senang,hendaklah terus terang dengan cara yang baik dan masa yang sesuai.

Perawat hubungan:

  • Komunikasi: merupakan asas yang penting dalam hubungan. Tanpa komunikasi hubungan jadi suram. Ianya penting dalam setiap perkara dalam menjalani hubungan.

Perlu diingatkan, anak-anak belajar daripada apa yang dilihat bukan apa yang dicakapkan oleh ibubapa. Oleh itu, hendaklah menjaga hubungan agar tidak dilihat oleh anak-anak perkara yang boleh menimbulkan kesan psikologi terhadap mereka.

Pergaduhan yang sering menyebabkan gangguan emosi anak-anak dan menyebabkan psikologi mereka terganggu dan terbawa-bawa dalam kehidupan seharian mereka.

Perkara ini selalunya menyebabkan anak-anak menjadi murung,memberontak dan sebagainya yang boleh membawa kepada masalah yang lebih besar seperti lari dari rumah,membunuh diri,derhaka atau hilang rasa hormat kepada ibu atau bapa.

Masalah psikologi ini bukannya semasa kecil sahaja, bahkan terbawa-bawa sehingga dewasa.

Sunday, February 14, 2010

JAUH

dan aku terus berlari
berlari tanpa henti
berlalu barlah pergi
mendatang biarlah kemari

jemu aku
berpaling di saat laju
sehingga aku
berdiri kaku
menunggu
sedangkan masa berlalu

ku pejamkan mata
biarkan mulut berkata
kaki terus melangkah nyata
kerana ku tak rela
terkurung di penjara dusta

jauh makin jauh
di pandang jauh di hati jauh
bukan aku mengeluh
ku cari tempat bersimpuh
calar balar luka terjatuh
berkulit isi menyembuh

Friday, February 12, 2010

VALENTINE

i love u
i miss u
kata-kata yang berbulu
membunuh jiwa
seorang pemalu

kaulah satu
tiada yang lain
di hatiku
tergadai maruah
di semak semalu

I janji
kita sehidup semati
laut luas kan ku renangi
akhirnya meraung
seorang diri
tiada bapa
sudah ber bayi

belah lah dada
buktikan cinta
hatiku ini
hanya kau yang ada
jahanam!!celaka!!!
kini sudah ternoda

febuari bulan kita
febuari kita bercanda
kau suka
aku suka
sama-sama
kita berjumpa
di pintu neraka...

Friday, February 5, 2010

RAMA-RAMA

aku bebas..
aku gembira..
aku bahagia..
aku rama-rama..

ke mana aku hinggap
ke mana aku terbang
aku gembira
walaupun hidup sementara
walaupun sekelilingku bahaya

aku rama-rama
yang mencari keindahan
dalam kekalutan kehidupan
keganasan,kejahatan,kedengkian
kepura-puraan
musuh yang mengancam

aku bahagia
memiliki sepasang sayap
biarpun tidak kuat
biarun tidak hebat
menawan langit biru
tapi sekadar tinggi pucuk paku
kerana itu saja yang aku mampu

aku kenal dunia
aku kenal manusia
aku kenal segalanya
kerana aku
rama-rama